Carian Maklumat di sini

Custom Search

Wednesday, March 18, 2009

Bercanda di Desaru





Pantai memutih, laut biru tarikan keluarga

SEJAK akhir-akhir ini, kempen ZOOM! Malaysia yang dikendalikan Kementerian Pelancongan giat mempromosikan pusat peranginan Desaru di Johor sebagai destinasi percutian hebat.

Biarpun memiliki tarikan tersendiri, Desaru bagaimanapun hanya popular di kalangan penduduk di selatan Semenanjung termasuk Singapura. Ini mungkin disebabkan faktor lokasinya di mana jika dari Kuala Lumpur, kita perlu memandu sekurang-kurangnya lima jam untuk bermain air di pantai ini.Keunikan Desaru membuatkan penulis teruja melihat sendiri keindahan pantainya. Lebih-lebih lagi, Desaru sering menjadi tempat pertandingan acara sukan luncur air yang berpotensi dijadikan produk pelancongan sukan negara. Keluasan pantai dan ombak besar menjadikan kelebihan Desaru menarik kedatangan peminat sukan luncur air.

Sempena cuti hujung minggu, penulis mengambil peluang bersama keluarga berkunjung ke Desaru. Malah, inilah kali pertama penulis memandu bersendirian ditemani anak-anak hingga ke selatan tanah air.

Ikuti pengalaman menyeronokkan bersantai di Desaru yang sesuai menjadi destinasi percutian keluarga.

MELAYAN perasaan di tepi Pantai Batu Layar.

Sabtu
10.30 pagi :
Kami memulakan perjalanan menyusuri Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Johor. Tiga jam kemudian, kami tiba di susur keluar ke Tol Kulai. Sebaik tiba di persimpangan menghala Kulai, penulis terpandang kain rentang tertera 'Selamat Pengantin Baru Mawi-Ekin' serta anak panah menuju Felda Taib Andak.

Sejenak itu, penulis yakin sedang melalui jalan yang betul.

2 petang : Setibanya di pekan Kulai, penulis mengeluh menyedari Desaru berada pada jarak 109 kilometer lagi berdasarkan maklumat pada papan tanda. Ingatkan sudah dekat. Sepanjang perjalanan, mata disajikan dengan suasana perkampungan Felda yang dikelilingi ladang kelapa sawit menghijau. Suasana kampung yang tenang melekakan hingga tidak terasa bosan meneruskan perjalanan.

3 petang : Lega rasanya sebaik melihat pintu gerbang tertulis 'Selamat Datang Ke Desaru'. Deretan hotel dan chalet yang menawarkan pelbagai kadar penginapan memudahkan pelancong. Sebaik memandu masuk ke perkarangan Desaru Golden Beach Resort, penulis teruja melihat persekitaran bagaikan berada di Hawaii. Apatah lagi reka bentuk chalet villa berkembar dikelilingi pokok kelapa dan palma membuatkan hati seolah-olah tidak mahu pergi ke tempat lain.

PELBAGAI barangan perhiasan yang murah ada di Ayer Hitam.

3.30 petang : Selepas check in, penulis pergi ke Kota Tinggi melalui jalan pantai. Tiba di Teluk Rumania banyak kapal dilihat berlabuh di tengah laut. Ramai juga dilihat merakamkan gambar kerana pemandangannya berbeza seolah-olah berada di luar negara.

4.30 petang : Penulis tiba di Ostrich Desaru Show Farm yang menternak kira-kira 300 ekor burung unta yang dikatakan ladang burung unta terbesar di Malaysia. Sejak dibuka pada 2001, ladang burung unta ini yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Desaru, mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Saiz burung unta yang besar ini menggerunkan kita, apatah lagi melihat kakinya yang panjang dan paruh besarnya. Namun, usah bimbang kerana hanya burung jinak saja dilepaskan untuk bermesra dengan pengunjung.

Penulis diberitahu, burung unta memakan kira-kira tujuh kilogram sayur, soya serta jagung sehari dan boleh hidup sehingga 60 tahun. Burung betina boleh bertelur sehingga 1,000 biji daripada usia dua tahun hingga 25 tahun.

Selepas puas bermain dengan burung unta, anda boleh cuba merasai keenakan burger, omelet dan satay sebelum pulang. Sebaik dipecahkan, anda pasti teruja melihat isi kandungan telur itu yang banyak.

5.30 petang : Penulis pulang semula ke Desaru tetapi dalam perjalanan kami singgah di Pantai Batu Layar. Ia dinamakan Pantai Batu Layar kerana bentuknya yang seperti kapal layar. Penulis hairan melihat banyak pakaian, tilam dan selimut terdampar di tepi pantai. Menurut beberapa penduduk tempatan, pakaian itu hanyut dari kapal karam atau mungkin bot pendatang tanpa asing yang karam.

Di sini, ramai pelancong berkelah dan bermain layang-layang. Penulis sempat berbual dengan seorang Ahli Geologi, Ariffin Suhaidi yang sedang membuat kajian di situ. Menurutnya, Tanjung Balau amat menarik kerana tempat ini yang sangat nyaman.

“Jika lebih banyak kemudahan disediakan di sini, saya percaya pusat peranginan ini dapat menarik lebih ramai pelancong, khususnya rakyat negara ini,” katanya.

Beliau berkata, lokasi Kota Tinggi juga menarik untuk kajian ahli geologi kerana banyak batu unik dan alam semula jadi yang terhasil daripada fenomena alam, contohnya, Batu Layar yang kelihatan seperti kapal layar.

7.30 malam : Kami bertolak ke Medan Selera yang terletak kira-kira 10 kilometer dari hotel dengan niat menikmati masakan Johor, terutama Laksa Johor, lontong dan Soto.

Ahad
8 pagi :
Selepas bersarapan, penulis bersantai di sekitar hotel sambil melayan anak-anak di kolam renang. Menariknya, pihak pengurusan hotel tidak menetapkan syarat yang ketat supaya memakai pakaian renang. Jadi ramai ibu bapa yang turut mengambil kesempatan bermain bersama anak-anak. Memang menyeronokkan.

10.30 pagi : Kami menuju ke Tanjung Balau untuk melawat Muzium Nelayan, yang terletak kira-kira enam kilometer daripada pusat peranginan Desaru. Muzium ini mempamerkan khazanah peralatan menangkap ikan tradisional dan moden.

Lokasinya berdekatan perkampungan nelayan Tanjung Balau amat sesuai dengan konsep keseluruhan kawasan ini yang bertemakan kehidupan nelayan. Muzium yang dibuka pada 1993 ini dibahagikan kepada beberapa galeri seperti kehidupan nelayan, model perahu nelayan, jenis peralatan menangkap ikan, peralatan nelayan orang-orang asli, peralatan nelayan moden, model kaedah menangkap ikan, diorama kehidupan nelayan dan galeri perahu. Bahan pameran diperoleh dengan bantuan dan kerjasama Jabatan Muzium Dan Antikuiti, Arkib Negara, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta individu lain.

Tidak ketinggalan Galeri Geologi menempatkan pelbagai batuan unik yang sebahagian besarnya diperoleh di perairan Tanjung Balau. Batuan unik ini dijadikan bahan kajian pelajar universiti aliran geografi dan geologi.

Penulis tertarik dengan artifak pinggan mangkuk dan bahan dagangan sebuah kapal dagang Negara China tahun 1840-an yang karam di perairan Desaru.

Menariknya, muzium ini terletak bersebelahan pantai Tanjung Balau yang sangat bersih dengan hamparan pasir memutih dan pemandangan laut yang indah. Lokasi ini sering menjadi tempat beriadah dan berkelah bersama keluarga pada hujung minggu.

12 tengah hari : Selepas check out, kami bertolak ke Kota Tinggi dan makan tengah hari. Di sini, kami sempat singgah di di Muzium Kota Tinggi untuk melihat pelbagai koleksi bahan bersejarah mengenai Kesultanan Johor dari dulu hingga kini.

Sebaik melangkah masuk, anda disambut suasana dalam istana yang menggambarkan Sultan Alauddin Riayat Shah II (Sultan Johor II) sedang menerima mengadap Estavo Da Gamma pada 1536 untuk memeterai perjanjian perdamaian.

Pengunjung juga dapat melihat cara hidup masyarakat Johor dari dulu hingga sekarang. Ini tentunya membawa kita mengimbau kenangan zaman kanak-kanak apabila melihat peralatan memasak zaman dulu seperti periuk tanah, kendi air, lesung batu, batu giling dan dapur kayu yang kini digantikan dengan barangan elektrik.

1 tengah hari : Kami kemudian berkunjung ke Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang terletak kira-kira tiga kilometer dari bandar Kota Tinggi. Siapa yang tidak ingat kisah Sultan Mahmud Shah II yang bertindak kejam membelah perut isteri Laksamana Bentan yang sarat mengandung gara-gara makan nangka sultan. Walaupun Dang Anum memberitahu dia mengidam, Sultan tidak peduli dan terus menghukumnya.

Apabila Laksamana Bentan pulang dan mendapati isteri serta anaknya mati dibunuh, dia membalas dendam dan menyerang Sultan ketika sedang dijulang oleh panglima. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Sultan Mahmud bersumpah mana-mana orang berketurunan Bintan (Laksamana Bentan berketurunan Bintan) yang menjejakkan kaki ke Kota Tinggi akan muntah darah hingga mati.

Di kawasan ini, ada kubur kecil dengan dua batu berbentuk bulat diletakkan atas kubur dikenali sebagai Makam Kucing Bertanduk. Kisahnya, kucing yang sangat disayangi Sultan Mahmud Shah II ini mempunyai tanda atas kepala seperti tanduk.

Lebih istimewa kucing ini mampu mengesan musuh yang akan datang menyerang Kota Tinggi. Namun, kucing ini mati secara tiba-tiba seminggu sebelum baginda mangkat.

3 petang : Tiba masanya untuk pulang ke Kuala Lumpur. Kami sempat singgah di Ayer Hitam untuk membeli pasu, bunga kering, bantal dan anak patung karektor kartun serta pelbagai hiasan rumah. Seronok kerana harga di sini jauh lebih murah berbanding di Kuala Lumpur. Malah, dengan harga satu barang di Kuala Lumpur anda boleh mendapat tiga barang di sini. Tapi pastikan anda pergi awal jika anda mahu membeli-belah dengan selesa kerana kedai ditutup jam 9 malam.

FAKTA: Desaru

  • Desaru terletak kira-kira 480 kilometer dari Kuala Lumpur dan mengambil masa perjalanan kira-kira lima jam berkereta.

  • Ladang Ostrich yang terletak di Batu 15, Teluk Ramunia, Kota Tinggi dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari dan anda dikenakan tiket RM10 (dewasa) dan RM6 (kanak-kanak).