Riuh di bendang
Pelajar Korea bergambar bersama keluarga angkat. |
Mengangin padi, tangkap belut aktiviti di Homestay Sungai Haji Dorani
SETIAP kali menjamah nasi, hati selalu tertanya-tanya bagaimana pesawah mengerjakan bendang dengan tenaga empat kerat. Apa agaknya keseronokan yang menanti andai diluangkan masa dua hari di desa dengan panorama sawah menghijau saujana mata memandang?
Tidak bertangguh lagi, penulis mencari destinasi sesuai bagi mengembalikan kenangan desa tercinta terutama keseronokan bermain di bendang. Kesempatan hujung minggu baru-baru ini diambil untuk meninggalkan hiruk pikuk di Kuala Lumpur dan menuju ke Homestay Sungai Haji Dorani di Sungai Besar, Selangor, yang terkenal dengan aktiviti pertanian.Lawatan sekumpulan pelajar dari Korea yang menyertai program pertukaran pelajar dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di lokasi sama menambah warna keseronokan percutian hujung minggu itu.
Sabtu
12 tengah hari : Selepas menikmati makan tengah hari, penulis memulakan perjalanan ke Homestay Sungai Haji Dorani di Sungai Besar, Selangor. Perjalanan mengambil masa hampir dua jam meredah kesesakan di Kuala Lumpur sebelum menuju ke lokasi yang pastinya menjanjikan keseronokan.
AKTIVITI memancing belut antara tarikan di Homestay Sungai Haji Dorani. |
2 petang :
Penulis tiba di perkarangan Homestay Sungai Haji Dorani. Ketika itu, dilihat sekumpulan pelajar dari Korea dan penuntut UiTM sedang sibuk membawa keluar barangan dari bas yang membawa mereka.
Suasana mula riuh rendah terutama pelajar Korea yang petah berbual dalam bahasa ibunda. Biarpun tidak difahami setiap patah perkataan yang diucapkan, keseronokan jelas dilihat di wajah mereka yang tidak sabar-sabar memijakkan kaki ke sawah.
2.30 petang : Sambil memerhatikan gelagat lucu kumpulan pelajar Korea, penulis menikmati hidangan petang yang disediakan di homestay ini. Sambil menjamu selera, mata meliar melihat keindahan suasana kampung. Hati terus menjadi lapang dan terlupa tugas rutin di pejabat dan kesibukan Kuala Lumpur.
Pelajar Korea menunjukkan kebolehan menumbuk padi secara tradisional. |
Penulis kagum dengan keramahan penduduk kampung yang selalu tersenyum dan mengangkat tangan sebagai tanda perkenalan dan selamat datang.
3 petang : Selepas mendengar taklimat ringkas, penulis menyertai kumpulan pelajar menuju ke sebuah rumah yang letaknya tidak jauh iaitu di tepi bendang. Di sini, kami melihat sendiri aktiviti memproses padi secara tradisional.
Selain menumbuk padi, pelajar mengambil kesempatan menunjukkan kebolehan mengangin padi. Walaupun musim menuai padi sudah berakhir bulan lalu, namun kemeriahan masih dirasai di bendang.
4.15 petang : Meneruskan aktiviti, kumpulan pelajar dibawa memancing belut. Setiap pelajar dibekalkan dengan sebatang joran pendek yang diperbuat daripada buluh dan diberi umpan organ haiwan.
Dalam cuaca terik sesekali dihembus angin petang, kumpulan pelajar terbabit bersemangat memancing belut. Pengalaman ini amat berharga terutama bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke bendang dan memancing belut.
Sesi ini sungguh menyeronokkan kerana pelbagai aksi lucu dapat dilihat. Letih menunggu, seekor belut pun tidak terkena umpan! Bagaimanapun, pelajar tetap gembira dan puas bermain di tali air sawah.
5 petang : Bagi menambah aktiviti percutian di Homestay Sungai Haji Dorani, kami dibawa melawat ruang mewarna batik canting. Penulis juga diberi peluang mewarna batik mengikut kreativiti sendiri.
Sambil menunggu pelajar menyiapkan tugasan mewarna batik, pemilik rumah menghidangkan jamuan ringan. Penulis mengambil kesempatan untuk berkenalan dan mendengar celoteh tuan rumah.
6.30 petang : Selepas seharian melakukan aktiviti luar, pelajar diserahkan kepada ibu bapa angkat. Sudah semestinya peluang ini digunakan untuk mengeratkan hubungan selain mendalami budaya dan adat resam tempatan.
8.30 malam : Selepas membersihkan diri, penulis dijemput menikmati makan malam bersama keluarga angkat.
9.30 malam : Penulis menyertai kumpulan pelajar Korea berkumpul di perkarangan untuk menyaksikan keunikan masyarakat desa meraikan pasangan pengantin.
Pelajar yang dipilih menjadi 'pengantin segera' disarung persalinan pengantin serba lengkap.
Suasana mula riuh rendah apabila 'pengantin' diusik rakan-rakan. Kedua-dua mempelai diarak dengan paluan kompang mengiringi ke pentas persandingan.
Bagi memeriahkan majlis, pelajar juga berpeluang melakukan acara merenjis pengantin bagaikan majlis perkahwinan sebenar.
10.30 malam : Kami disajikan dengan persembahan tarian kuda kepang. Tidak lengkap rasanya jika tidak mencuba sendiri keseronokan tarian kuda kepang. Sedang leka menikmati keasyikan tari, lampu di perkarangan tiba-tiba terpadam.
Apabila lampu dihidupkan semula, jeritan penonton memecahkan suasana. Rupa-rupanya kelibat penari bertopeng mengejutkan mereka sebaik lampu terang.
Menutup tirai, pelbagai watak dipamerkan dalam acara Barongan yang menjadi kesinambungan segmen tarian kuda kepang.
Ahad
8.30 pagi : Selepas membersihkan diri, penulis sempat menghirup udara pagi yang segar. Memang benar, keasyikan suasana desa pada waktu pagi, sungguh mendamaikan. Penulis kemudian menikmati sarapan bersama keluarga angkat.
10.30 pagi : Selesai menikmati hidangan pagi, kami dibawa menaiki bas menuju ke premis perniagaan yang diusahakan penduduk kampung. Selain melawat Nandong Food Industries, pelajar sempat membeli kerepek, baulu dan makanan ringan untuk di bawa pulang.
12.15 tengah hari : Kami meneruskan perjalanan menuju sebuah rumah keluarga angkat untuk menikmati air kelapa. Sungguh melegakan...
1 petang : Masa untuk pulang. Terasa cepat perjalanan waktu di desa ini. Pengalaman di Homestay Sungai Haji Dorani tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Keseronokan menanti di Homestay Sungai Haji Dorani
HOMESTAY Sungai Haji Dorani dibuka sejak 1996. Lokasi ini menjadi daerah jelapang padi terbesar di Selangor. Aktiviti kemasyarakatan dalam suasana pelancongan pertanian menjadi teras percutian homestay ini.
Pelancong yang menginap di Homestay Sungai Haji Dorani dijanjikan pengalaman menarik melalui pelbagai aktiviti. Malah pusat percutian ini mampu dijadikan pusat aktiviti sukan lasak, sesi motivasi dan program seperti hari keluarga.
Pengurus Homestay Sungai Haji Dorani, Abdul Rahman Daud berkata, pengunjung boleh menikmati kehidupan desa dan melakukan rutin harian penduduk tempatan.
"Homestay ini adalah pilihan terbaik bagi mereka yang sukakan keindahan desa terutama sawah dan keheningan pantai.
"Keseronokan memancing belut misalnya pasti menjanjikan pengalaman manis buat pengunjung," katanya ketika ditemui.
Abdul Rahman berkata, kemudahan chalet di atas petak sawah disediakan kepada pengunjung.
Beliau berkata, pihaknya merancang menawarkan pakej percutian bagi pengunjung yang mahu menikmati bulan madu dalam suasana desa.
Sementara itu, pelajar Korea, Kim Suji berkata, lawatan ke Homestay Sungai Haji Dorani memberi kenangan manis yang tidak akan dilupakan.
"Selain dapat tinggal bersama keluarga angkat, layanan mesra dan juadah enak cukup menjadikan homestay ini menarik untuk dikunjungi siapa saja," katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai kemudahan di Homestay Sungai Haji Dorani boleh menghubungi Abdul Rahman Daud di talian 013-6077025 atau mengirim e-mel ke doranihomestay@yahoo.com.