Carian Maklumat di sini

Custom Search

Wednesday, March 18, 2009

Pesona ikan hiasan



SEBAHAGIAN kecil ikan peliharaan.

Pameran Aquafair Malaysia 2008 himpun ratusan spesies ikan hiasan

KATA orang, terapi terbaik dan mungkin paling mudah dilakukan ialah dengan memelihara ikan hiasan. Biarpun seekor ikan gapi yang dibela dalam balang kecil, ia cukup melegakan minda. Tari si ikan dengan ekor panjang memantulkan warna keemasan pada sisiknya, cukup mendamai jiwa. Jika mahu mencari ketenangan, perhatikan ikan kecil berenang ke sana-sini - seolah-olah khayal dalam dunianya sendiri.

Hobi memelihara ikan hiasan sudah lama bertapak di Malaysia. Perhatikan saja rumah kenalan atau saudara-mara yang anda kunjungi, tentu segelintir mereka memiliki akuarium biar kecil sekalipun.


Hobi memelihara ikan hiasan bukan saja dapat memberi nilai baik, terutama kepada si kecil mengenai rasa sayang kepada ikan atau hidupan laut, malah mengajar erti tanggungjawab apabila ikan perlu dijaga, ditukar airnya serta diberi makan apabila tiba masanya.

Bagi individu yang mengikuti perkembangan hobi ikan hiasan, mereka pasti ternanti-nanti kewujudan spesies ikan hiasan baru untuk dipelihara. Suatu waktu dulu, spesies ikan arowana yang boleh mencecah RM40,000 seekor mencetus fenomena di kalangan pencinta ikan hiasan. Mereka sanggup berhabis wang beratus-ratus ringgit bagi mendapatkan anak ikan arowana dan memeliharanya sehingga matang.

Ada yang menjadikan hobi memelihara ikan arowana sebagai sumber pendapatan. Bayangkanlah, jika harganya menyamai sebuah kereta baru, siapa tidak mahu memelihara dan menjual spesies ikan ini yang tidaklah sukar untuk dipelihara di rumah.

IKAN pari hiasan.

Selepas kegilaan terhadap arowana reda, sejak akhir-akhir ini, spesies ikan pari hibrid yang berasal dari Amerika Selatan pula mendekati hati peminat ikan hiasan di Malaysia.

Jika anda belum pernah melihat lebih dekat ikan pari hibrid ini, apa kata kunjungi Pameran Aquafair Malaysia 2008 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur, mulai Khamis ini.

Populariti ikan pari hibrid yang meningkat menjadikan spesies ikan air tawar ini tarikan utama Pameran Aquafair Malaysia 2008. Fizikalnya yang ganjil dan melebar berbanding ikan biasa, menyebabkan ramai ingin memilikinya. Walaupun berbisa (namun tidaklah sebisa ikan pari di laut terbuka), peminat ikan hiasan tetap teruja memeliharanya di rumah.

Mengikut fakta, ikan pari hiasan ini dikenali sebagai South America Freshwater Stingray dari spesies Potamorygon. Malaysia sebenarnya mempunyai spesies ikan pari tempatan tetapi corak pada ikan spesies tempatan tidak menarik untuk dipelihara dalam akuarium.

ANTARA aktiviti mengisi pameran Aquafair ketika dianjurkan pada 2006.

Sebaliknya, ikan pari hibrid dari Amerika Selatan mempunyai bintik atau tompokan ala batik yang menjadikan ia cukup menarik, terutama ketika ia berenang-renang dan melebarkan sirip atau sayap dalam air.

Sebelum ini, peminat ikan pari hiasan dari Amerika Selatan terpaksa mengimport spesies ikan ini dari benua terbabit. Bekalan ikan pari diperoleh dari habitatnya di Hutan Amazon.

Namun proses membawa masuk ikan pari Amerika Selatan ke Malaysia cukup rumit di mana ia perlu melalui proses kuarantin serta tempoh penghantaran yang panjang. Disebabkan itu, banyak ikan pari Amerika Selatan mati dalam perjalanan.

Namun usaha Syarikat Xian Leng Holdings Berhad yang berpejabat di Shah Alam, Selangor, membiak spesies ikan pari hibrid ini sejak 1996 membawa berita baik kepada penggemar ikan pari hiasan ini. Faktor iklim khatulistiwa dan cuaca di Malaysia yang menyamai keadaan di hutan Amazon membolehkan ikan pari ini dibiak dan disesuaikan dengan keadaan di Malaysia.

Pengarah Eksekutif Xian Leng Holdings Berhad, Tan Cheng Kiat, berkata ikan pari hiasan mula mendapat tempat di kalangan penggemar ikan hiasan kerana rupa dan tarikan fizikalnya.

“Selepas memelihar ikan hiasan lain yang masing-masing memiliki rupa bentuk tipikal, peminat hobi ikan hiasan mula mencari-cari spesies ikan hiasan lain untuk dipelihara di rumah.

“Selepas kita membiak spesies ikan pari Amerika Selatan, kita lihat makin ramai peminat menyedari kehadiran spesies hibrid ini kerana suka melihat bentuknya yang berbeza ketika berenang-renang dalam akuarium di rumah,” katanya ketika ditemui Sabtu di premis Xian Leng Aquatic di Seksyen 2, Shah Alam.

Premis itu dilengkapi aquaritorium mini yang menempatkan beratus-ratus spesies ikan hiasan serta paling menarik, tiada bayaran dikenakan untuk melawat kemudahan ini.

Memerhati gerak-geri ikan pari hiasan yang dipelihari di premis itu, penulis dapat mengagak mengapa ia makin diminati. Ikan pari hiasan yang lebih gemar berada di bahagian bawah akuarium mudah menarik perhatian siapa saja dengan corak batik pada badannya. Setiap kali ia berubah tempat, pergerakan sirip atau sayapnya sungguh mengasyikkan berbanding ikan hiasan lain.

Tan berkata, ikan pari hiasan boleh dibeli pada harga serendah RM338 bagi ikan pari yang masih kecil manakala yang mencapai tahap matang boleh mencecah RM1,700 atau lebih tinggi.

Beliau berkata, seperti ikan hiasan lain, ikan pari hiasan tidak sukar dipelihara asalkan pemiliknya tahu proses yang perlu dilakukan dari semasa ke semasa seperti menjaga suhu air dan kebersihan.

“Ikan pari boleh diberi makanan ikan kecil atau udang kecil. Mutu air cukup penting dengan alat penapis air perlu dipastikan berfungsi bagi mengekalkan kebersihan dan kesegaran air.

“Tidak banyak pantang menjaga ikan pari hiasan ini melainkan pemilik perlu berhati-hati mengelak terkena sengatnya. Walaupun sengatan ikan pari hiasan tidaklah sebisa ikan pari di laut, langkah pencegahan perlu diambil,” katanya sambil menambah faktor bisa atau racun tidak menjadi soal bagi penggemar ikan pari hiasan.

Tan berkata, ikan pari hiasan boleh membiak selepas mencapai umur setahun setengah atau dua tahun.

“Ini antara faktor mengapa ramai berminat memelihara ikan pari hiasan kerana mahu melihat populasinya makin meningkat,” katanya sambil menambah ikan pari hiasan akan dipamerkan di Aquafair Malaysia 2008 dengan harapan dapat mengulangi fenomena ikan arowana yang diperkenalkan syarikat itu pada pameran sama, dua tahun lalu.

Sementara itu, Aquafair Malaysia 2008 yang membuka pintunya minggu depan, dijangka terus melonjak nama Malaysia sebagai antara pengeluar ikan hiasan terkemuka di dunia. Kelebihan sebagai negara di garisan Khatulistiwa dengan iklim panas, menambah variasi khazanah laut termasuk ikan hiasan.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, Aquafair Malaysia 2008 akan terus meningkatkan keupayaan dan reputasi Malaysia sebagai pengeluar ikan hiasan yang utama di dunia berikutan kejayaan acara pertama pada 2006.

"Kami berbangga kerana Aquafair 2006 meletakkan Malaysia di persada dunia sebagai pengeksport ikan hiasan yang boleh dipercayai.

"Kejayaannya telah memberi dorongan kepada kami untuk mengukuh dan memantapkan pertumbuhan industri ikan hiasan dalam usaha merebut peluang baru di arena antarabangsa," katanya.

FAKTA: Industri ikan hiasan di Malaysia

  • Industri ikan hiasan Malaysia dijangka mencapai sasaran pengeluaran tahunan sebanyak 800 juta ekor ikan dan menjana nilai eksport mencecah RM300 juta menjelang 2010.

  • Malaysia adalah pengeluar kedua terbesar dunia bagi ikan hiasan dengan membekalkan hampir 10 peratus daripada permintaan global.

  • Industri ikan hiasan tempatan yang pesat berkembang menghasilkan 679 juta ikan tahun lalu bernilai RM192 juta.

  • Malaysia kini membiak lebih 250 spesies yang merangkumi lebih 550 jenis ikan tempatan dan eksotik bagi pasaran tempatan dan dunia.

  • Lebih 90 peratus daripada jumlah pengeluaran dieksport ke lebih 30 negara.

  • Menjelang 2010, Malaysia dijangka menghasilkan lebih 800 juta ikan hiasan untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.

  • Ikan hiasan dianggap sebagai produk nilai tinggi kerana secara perbandingan, nisbah harga ikan perhiasan berbanding yang dibela untuk sajian ialah 100:1 atau secara purata bernilai AS$1.8 juta setan.

    FAKTA: Aquafair Malaysia 2008

  • Aquafair Malaysia 2008 ialah acara dwitahunan kedua anjuran Jabatan Perikanan.

  • Pameran empat hari itu dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari Khamis ini hingga Ahad depan.

  • Aquafair Malaysia 2008 dijangka menarik lebih 150 peserta pameran dari 10 negara.

  • Matlamat khusus pameran ialah untuk meningkatkan potensi eksport industri ikan hiasan Malaysia, tanaman akuatik dan seluruh rangkaian industri dan perkhidmatan sokongan.

  • Pameran bertempat di Dewan 1, 2 dan 3, KLCC.

  • Waktu pembukaan dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

  • Pameran bagaimanapun terbuka untuk kumpulan profesional dan kumpulan pedagang atau peniaga pada Khamis ini.

  • Pameran dibuka kepada orang ramai mulai Jumaat ini hingga Ahad depan.

  • Bayaran sebanyak RM10 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak dikenakan.

  • Penganjur menjangka lebih 20,000 pelawat akan mengunjungi Aquafair Malaysia 2008.

  • Antara spesies ikan yang boleh dilihat ikan pari hibrid, arowana, discus, betta splenden, ikan kap dan ikan emas.

  • Turut dipamerkan tumbuhan dalam air sebagai hiasan akuarium.